KUALA LUMPUR 9 Nov. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kaedah permohonan baharu secara tender terbuka bagi tapak papan iklan paparan luar ‘billboard’ dan ‘unipole’ di sekitar ibu kota berkuat kuasa Januari tahun depan.
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, selaras dengan tindakan itu, pihaknya juga akan mengenakan sewa tapak ke atas mana-mana syarikat yang ingin mendirikan iklan di atas tanah milik kerajaan.
Bagaimanapun katanya, kadar sewa itu belum diputuskan oleh pihaknya namun akan dikenakan menerusi bidaan mengikut lokasi dan keluasan.
“Notis pemberitahuan untuk tidak melanjutkan pembaharuan lesen papan iklan ‘billboard’ dan ‘unipole’ telah dikeluarkan kepada semua pemegang lesen berkenaan mulai 1 November lalu.
“Sehubungan itu, semua permohonan tapak baharu dan lesen iklan luar ‘billboard’ dan ‘unipole’ akan ditangguhkan sehingga tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Anwar, tindakan itu bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara lebih telus selain meningkatkan pendapatan DBKL sebanyak 15 peratus daripada RM4.6 juta hasil kutipan pada 2017. – UTUSAN ONLINE










