KUANTAN – Seorang datuk kepada 10 cucu menjadi graduan paling berusia pada majlis Istiadat Konvokesyen Ke-13 di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kampus Gambang di sini hari ini.
Mohd. Hamdan A. Razak, 61, berkata, komitmen yang diberikan sebelum menerima skrol Sarjana Alam Sekitar dan Keselamatan Pekerjaan pada majlis konvokesyen itu merupakan antara cabaran paling sukar dalam hidupnya.
“Tempoh pengajian peringkat sarjana di UMP adalah dua tahun dan saya gunakan masa dengan maksimum. Saya bekerja sepanjang minggu, pada Sabtu dan Ahad pula saya hadir kuliah.
“Saya sudah berumur, tenaga dan daya ingatan dalam subjek pengajian pun tidak secerdas orang muda. Itulah cabaran paling sukar apabila menyambung pelajaran di usia emas seperti ini,” katanya.
Meskipun lewat usia, Mohd. Hamdan yang turut memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sama ketika ini masih bertugas sebagai pegawai keselamatan pekerjaan di sebuah syarikat pembinaan di Kuala Lumpur.
“Walaupun akan bersara tidak lama lagi, saya tetap kejar cita-cita hendak miliki ijazah sarjana dan kini impian saya tercapai,” tambahnya yang ditemani isterinya, Rohani Mohamad, 61.
Istiadat Konvokesyen Ke-13 pagi tadi disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Canselor UMP dan baginda diiringi Naib Canselor, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Menurut Daing Nasir, seramai 2,773 graduan menerima ijazah serta diploma dalam bidang masing-masing pada istiadat Konvokesyen UMP yang diadakan hingga esok. – K! ONLINE










