JOHOR BAHRU 24 Nov. – Dakwaan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tentang prestasi syarikat milik kerajaan (GLC) negeri yang mengecewakan dan banyak berhutang tidak dibuat dalam konteks sebenar berserta maklumat lengkap.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan itu bukan sahaja amat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, malah sangat terpesong, tidak tepat dan sengaja dibuat untuk mengelirukan orang ramai.
Beliau berkata, jumlah hutang tidak menunjukkan prestasi sebenar syarikat dan perlu dinilai bersama-sama beberapa aspek, antaranya aset semasa, jumlah simpanan serta aliran keluar masuk tunai.

“Banyak sumbangan GLC kepada masyarakat perlu turut diambil kira dalam menilai untung rugi mereka, seperti tajaan biasiswa, program komuniti, mewujudkan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, pemeliharaan alam sekitar dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sekali pun secara kewangan GLC dilabelkan sebagai rugi, namun tidak boleh menolak sumbangan dan pelaburan sosial syarikat berkenaan terhadap masyarakat.
“Dalam konteks GLC, inilah aspirasi dan mandat sesetengah daripadanya, iaitu untuk membawa kesejahteraan dan perkongsian kemakmuran kepada masyarakat dan bukan memaksimumkan keuntungan material, iaitu aspek kewangan semata-mata.
“Sekiranya mahu menilai sumbangan mana-mana GLC negeri, kita perlu bersikap adil dan mengambil kira pelbagai faktor kritikal dan relevan, bukan hanya bersandar terhadap jumlah hutang mereka,” tegasnya.
Baru-baru ini, Osman dilaporkan berkata, GLC negeri mempunyai hutang yang banyak dan tidak untung menyebabkan banyak program prorakyat terpaksa dibatal atau ditangguhkan.











