Cukup-cukuplah bebankan TVET dengan masalah pengurusan - Utusan Malaysia

Cukup-cukuplah bebankan TVET dengan masalah pengurusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Apabila tujuh kementerian masing-masing berebut mahu menguruskan sistem pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), sudah pasti pelatih yang sedang menjalani pembelajaran untuk memenuhi permintaan tenaga mahir akan menjadi mangsanya.

Ditambah pula dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini, kerajaan tidak menyebut secara spesifik tentang dana yang akan disalurkan untuk tujuan tersebut sedangkan ramai pihak mula memberi perhatian mengenai TVET ini.

Setiausaha Agung Gerakan TVET Nasional (GTN), Nordin Abdul Malek, berkata, pemain industri TVET kini tertanya-tanya tentang hala tuju bidang latihan tersebut dan pada paras manakah kerajaan benar-benar serius atau cakna mengenainya.

“Kalau sebelum ini, kerajaan mengumumkan dana sebanyak RM4.9 billion diperuntukkan untuk TVET tetapi bagaimanakah dana itu diagihkan?

“Perkara itu harus dipersoalkan juga kerana pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) hanyalah sekitar RM175 juta sahaja untuk tahun ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Mengulas lanjut tentang Belanjawan 2019, Nordin menegaskan, Dana Wibawa bernilai RM30 juta yang diumumkan bagi menggalakkan institusi latihan bersaing dalam menawarkan program latihan yang lebih kompetitif adalah tidak jelas.

“Peruntukan RM20 juta yang disediakan melalui Program Bootcamp berkaitan TVET bagi meningkatkan kompetensi belia juga agak mengelirukan sejauh mana keberkesanan dan keperluannya.

“Dalam erti kata lain, program tersebut boleh dikatakan sekadar menyerupai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan tidak memberi sebarang impak yang boleh digunakan untuk menambah baik sistem sedia ada,” katanya.

Lebih memeranjatkan, tiada bajet atau pengumuman berkait PTPK sedangkan itulah antara penting perkara yang amat dinanti-nantikan oleh pemain industri.

“Kami juga tidak melihat wujudnya inisiatif dan insentif yang bersifat kreatif untuk menambahkan sumber atau akses untuk meningkatkan dana pembiayaan bagi golongan muda, belia atau lepasan sekolah,” katanya.

Bagi menyelesaikan krisis itu, Nordin memberitahu GTN telah menyediakan satu kerangka TVET nasional dan ia akan dibentangkan kepada pihak kerajaan bila-bila masa seperti mahu TVET dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan bagi mereka yang sedang belajar serta Kementerian Sumber Manusia bagi mereka yang mahu meningkatkan kemahiran sedia ada.

“Tujuannya adalah untuk mengelakkan pertindanan persijilan dan kaedahnya itu dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, cepat, jimat serta berkesan tanpa melalui pelbagai karenah birokrasi yang merumitkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN