PUTRAJAYA 14 Nov. – Pengenalan cukai soda bermula 1 April 2019 diyakini dapat menjadi mekanisme bagi menangani masalah diabetes di negara ini.
Pengarah Bahagian Perkembangan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, cukai seumpama itu sudah pun dilaksanakan di negara seperti Mexico dan dilihat telah menampakkan hasil yang positif kepada negara berkenaan.
“Diabetes di Malaysia adalah membimbangkan sebab itulah kita adakan cukai-cukai melibatkan gula. Kita tengok kesan diabetis kepada hemodialisis dan kita perlu menangani diabetes di peringkat awal sebelum ia menjadi tenat.
“Oleh itu, kita harap cukai ini dapat membantu menangani diabetes kerana ia telah dilakukan di negara-negara lain seperti Mexico tiga tahun lalu dan sepatutnya mengurangkan orang-orang daripada membeli benda-benda manis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Fotografi dan Lukisan Sempena Hari Diabetes Sedunia di Hospital Putrajaya, di sini hari ini.
Tema pameran yang berlangsung di lobi Hospital Putrajaya bermula hari ini hingga 16 November itu adalah ‘Kehidupan Dengan Diabetes’.
Awal bulan ini, kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 buat pertama kalinya mencadangkan pelaksanaan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100 ml mulai 1 April 2019.
Ditanya berhubung kesan perlaksanaan cukai soda itu di Mexico, Dr. Bahari berkata, pada peringkat awal iaitu dalam tempoh tiga tahun telah berlaku pengurangan kes diabetes dalam kalangan rakyat di negara itu.
Namun begitu, beliau berkata, penyakit diabetes tidak memberi kesan dalam tempoh singkat iaitu dalam dua atau tiga tahun tetapi kesannya hanya akan dilihat dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.
“Tetapi secara umumnya pengenalan cukai ini sepatutnya dapat mengurangkan kes-kes diabetes dalam kalangan masyakarakat,” katanya.
Beliau seterusnya menyarankan rakyat negara ini agar mengurangkan pengambilan makanan manis, memperbanyakkan senaman dan memulakan kehidupan yang sihat dalam usaha menjauhkan diri daripada diabetes. – UTUSAN ONLINE










