LONDON 31 Okt. – Antonio Conte tidak pernah berhasrat membimbing Real Madrid, sebaliknya mengintai untuk menggantikan Jose Mourinho di Manchester United.
Bekas pengurus Itali, Juventus dan Chelsea itu disebut-sebut sebagai calon pilihan menggantikan Julen Lopetegui yang dipecat Los Blancos semalam, begitupun gergasi bola sepak Sepanyol tersebut akhirnya melantik Santiago Solari sebagai jurulatih sementara.
Nama Conte juga tiada dalam senarai untuk dilantik sebagai pengurus tetap, sebaliknya Presiden Real Madrid, Florentino Perez dikatakan berminat membawa balik Mourinho ke Santiago Bernabeu atau melantik pengendali Belgium, Roberto Martinez.
Menurut akhbar Itali, Gazetta dell Sport, Real meletakkan Mourinho sebagai sasaran utama juara Eropah itu, dan jika dia pergi, bermakna terdapat kekosongan jawatan di Old Trafford.
Conte, 49, menganggap peluang membimbing United lebih menarik berbanding Real kerana dia mempunyai pengalaman dalam Liga Perdana Inggeris berbanding La Liga.
Biarpun Conte tidak lagi melatih Chelsea selepas dipecat hujung tahun lalu, namun mengikut kontrak yang ditandatangani pada 2017, kelab London itu masih perlu membayar gajinya iaitu 9.5 juta pound (RM50.66 juta) setahun selagi dia tidak mempunyai majikan baharu.
Seandainya ada kelab lain yang mahu menggunakan khidmat Conte sebelum penghujung musim 2019, Chelsea boleh menjualnya pada harga 7 juta pound (RM37.33 juta).
“Jose Mourinho adalah satu-satunya jurulatih yang disegani oleh Perez ketika ini,” kata bekas Presiden Real, Ramon Calderon kepada talkSPORT. – AGENSI











