MARANG 13 Nov. – Chicken Cottage, rangkaian restoran makanan segera jenama antarabangsa berstatus halal yang berpengkalan di London bakal melebarkan sayap perniagaannya negara-negara Arab, Afrika dan Eropah.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yakin syarikat yang dikuasai oleh sayap pelaburan kerajaan negeri Terengganu Inc. melalui anak syarikat, TI Global Food Holdings Ltd, mempunyai potensi besar untuk terus berkembang apabila berada di landasan tepat.
“Setakat ini reaksi memang amat membanggakan sebaik sahaja Chicken Cottage buka cawangan pertama di Dubai. Malah perkembangan ini mendorong kita untuk meneruskan proses pembukaan beberapa rangkaian lain termasuk di Mekah dan Madinah.
“Saya percaya, perkembangan ini dapat menjana keuntungan berlipat kali ganda kepada kerajaan negeri kelak”, katanya.
Dr. Ahmad Samsuri berkata demikian kepada pemberita sewaktu ditemui selepas memberi rangsangan kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara (SMKTLS), di sini hari ini.
Pada 1 November lalu, Menteri Besar turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Chicken Cottage bersama Knights Enterprise Free Zone Limited Liability Company (FZ-LLC) di Gloria Hotel, Dubai.
Pembukaan restoran di Dubai itu dilihat sebagai pembuka jalan bagi perkembangan operasi di negara Arab-Afrika, sekali gus merintis pasaran perniagaan yang lebih luas di seluruh dunia.
Sehingga kini difahamkan terdapat hampir 60 rangkaian cawangan restoran Chicken Cottage termasuk di United Kingdom (UK), Nigeria dan Itali selain dua yang bertapak di negara ini iaitu di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur.
“Malah India dan beberapa negara Eropah turut menunjukkan minat mendalam terhadap perniagaan restoran ini. Melihat kepada reaksi dan perkembangan ini, kita bercadang untuk membuka cawangan sendiri di UK bagi mendapat latihan.
“Dengan pengurusan yang telus, cekap dan cermat, saya yakin Chicken Cottage mampu memberi keuntungan besar kepada kerajaan negeri,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










