BARYSAW, Belarus – Chelsea mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Europa selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas BATE Borisov di Borisov Arena awal pagi semalam.
Jaringan tunggal yang dihasilkan penyerang The Blues, Olivier Giroud turut menyaksikan pemain antarabangsa Perancis itu menamatkan kemarau gol dalam tempoh 794 minit.
Bagaimanapun, pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan pemain-pemainnya apabila terlalu memberi ruang kepada pasukan tuan rumah melakukan serangan.
“Saya akui kami tidak bermain dengan baik, terutamanya pada separuh masa pertama kerana menampilkan aksi yang sangat perlahan. Prestasi seperti itu ternyata memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah.
“Bagaimanapun, kami mula selesa 25 minit selepas waktu rehat tetapi pemain-pemain dilihat hilang fokus pada 15 minit terakhir. Keadaan di sini juga sedikit sebanyak mempengaruhi corak permainan,” kata Sarri.
Bekas jurulatih Napoli itu juga menyatakan kegembiraan selepas menyaksikan Giroud menjaringkan gol pertama di bawah kendaliannya selain yakin gol tersebut mampu meningkatkan motivasi pemain tersebut.
“Saya gembira melihat Giroud menjaringkan gol kerana dia merupakan salah seorang pemain penting di kelab ini. Saya tahu semua penyerang mahu jaringkan gol, jadi ia mungkin berikan Giroud keyakinan baharu,” ujarnya. – AGENSI










