LONDON – Penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola melemparkan kritikan terbuka terhadap dua pemain pertahanan iaitu Gary Cahill serta Andreas Christensen kerana tidak memberi apa-apa sumbangan ketika melakar kemenangan tipis 3-2 ketika menerima kunjungan Derby Country pada saingan pusingan keempat Piala Liga England awal pagi semalam.
Jelas bekas pemain Chelsea itu, kedua-dua pemain berkenaan gagal beraksi seperti yang diharapkan sehingga menyaksikan skuad The Blues seolah-olah turun tanpa pemain pertahanan.
“Cahill bermain pada babak pertama perlawanan dan saya lihat benteng pertahanan kami sangat rapuh seperti tidak ada pemain pertahanan. Kami memilih kedua-dua pemain berkenaan dengan jangkaan mereka akan menggunakan peluang tersebut untuk merebut tempat dalam skuad utama.
“Sebaliknya perkara lain pula yang berlaku. Ini merupakan satu kritikan terbuka dan saya akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemain tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Chelsea berjaya meraih gol pembukaan hasil jaringan gol sendiri pemain pertahanan Derby, Fikayo Tomori seawal minit kelima.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Frank Lampard itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Jack Marriott selang empat minit kemudian sebelum mereka sekali lagi ketinggalan pada minit ke-21 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan, Richard Keogh.
Kerapuhan benteng pertahanan Chelsea menjadi punca Derby kembali mengikat kedudukan 2-2 hasil penyudah Martyn Waghorn pada minit ke-27.
Chelsea bagaimanapun menarik nafas lega untuk layak ke pusingan suku akhir kejohanan berkenaan selepas pemain tengah, Cesc Fabregas meledakkan gol kemenangan empat minit sebelum aksi babak pertama tamat. – Agensi











