KOTA BHARU – Cermin kereta jenis Perodua Myvi milik seorang wartawan Utusan Malaysia Biro Kelantan dipecah penjenayah dalam kejadian di tempat letak kenderaan di Masjid Muhammadi, Jalan Masjid di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, Mohamad Hasif Idris, 28, singgah ke masjid tersebut untuk menunaikan solat Maghrib sebelum akan ke satu tugasan di sebuah hotel berhampiran.
Difahamkan, cermin kereta sebelah penumpang hadapan itu dipercayai dipecahkan menggunakan objek keras.
Menurut Mohd. Hasif, dia menyedari kejadian tersebut selepas melihat serpihan kaca bertaburan di atas jalan di sisi keretanya.
“Pencuri terbabit melarikan sebuah beg sandang mengandungi perakam suara, kad media, pengecas telefon pintar serta kunci rumah.
“Ketika kejadian, telefon bimbit dan dompet saya bawa ke masjid dan bersyukur tiada barang lain yang hilang. Kerugian dianggarkan kira- kira RM500,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE









