Cerita pasal malas - Utusan Malaysia

Cerita pasal malas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA teringat, tidak lama dulu, ada seorang kawan bertanyakan mengenai tip-tip melawan rasa malas atau senang cakap dia mahu berubah menjadi seorang yang rajin. Memang sangat murni niatnya itu. Ada keinginan untuk memperbaiki sikap yang tidak baik. Ini yang bagusnya.

Kata saya, sekarang macam-macam tip dan jalan penyelesaian pun boleh dapat dalam internet. Cuma berkesan atau tidak, diamalkan atau buat sekerat jalan. Carilah, kata saya lagi. Tetapi jawabnya – Malaslah cari. Begitu pula? Kata mahu jadi rajin. Macam inikah mahu melawan rasa malas?

Sikap malas kepada sesetengah orang bukan masalah yang besar sangat. ‘Penyakit’ ini biasa-biasa saja. Tetapi kesan pe­nyakit rohani ini, sebenarnya bukan si pemalas itu saja yang tanggung, ia sering kali membabitkan orang sekeliling atau ayat yang lebih terus terang, boleh menyusahkan orang lain.

Malas membaca, misalnya. Berapa ramai yang suka membaca? Ada yang suka membaca tetapi baca tajuk sahaja. Lepas itu, mulalah buat kesimpulan sendiri dan persepsi yang bukan-bukan. Ada juga hanya suka baca bahan-bahan yang ringan dan tidak ilmiah. Bosan baca yang berat-berat.

Perasan atau tidak, orang yang malas membaca mudah dipengaruhi, suka provokasi dan dilihat cerewet dengan hal-hal yang kecil tetapi hal-hal yang besar, kecil pula baginya kerana ilmu yang kurang ­daripada membaca.

Saya baca, dalam satu te­mu bual Bernama dengan pi­hak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun lalu menyatakan bahawa kadar literasi penduduk Malaysia masih berada pada tahap 55 peratus dengan purata setiap rakyat hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun berdasarkan kajian interim yang dilakukan pada 2014.

Kadar literasi rakyat negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan jumlah penduduk terkininya pada masa itu iaitu seramai 31.7 juta orang dan untuk mencapai sasaran ideal dengan jumlah populasi, setiap orang perlu membaca 30 buku setahun.

Saya pun terfikir, membaca 15 buku dalam setahun? Itu mungkin sudah dikira banyak. ­Sedangkan ada yang sebuah buku pun susah hendak baca dalam setahun kerana setiap masa lebih banyak membelek telefon. Inikan pula 30 buku?

Cerita pasal malas lagi, satu kajian mengenai tabiat malas berjalan kaki melibatkan 46 negara mendapati rakyat Malaysia antara yang paling malas berjalan dengan purata langkah berjalan untuk sehari lebih rendah daripada purata dunia.

Hasil penyelidikan Universiti Stanford di Amerika Syarikat itu yang diterbitkan oleh jurnal Nature mendapati rakyat Malaysia hanya berjalan 3,963 langkah, jauh rendah daripada purata dunia 4,961 langkah.

Ini saya rasa ada betulnya. Kadang-kadang kita perhatikan, kawan-kawan sekerja berebut mahu letak kenderaan di tempat paling dekat dengan pintu masuk pejabat. Kalau boleh mahu diletakkan kenderaan itu betul-betul di depan meja kerjanya. Dan kalau kita letak jauh sedikit, ada yang pelik bertanya kenapa parking jauh-jauh? Tidak terfikir pun, berjalan itu satu senaman yang baik.

Bercakap pasal malas lagi, berapa ramai dalam kalangan kita yang malas bekerja. Selalu ponteng dan ambil sijil cuti sakit (MC) tetapi tak sakit? Dan kerja itu ditanggung pula oleh kawan-kawan sepejabat yang sudah ada tugas sendiri.

Memetik kata-kata ­cendekiawan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz tidak lama dulu: “Orang yang bagus sekali ialah orang yang rajin bercakap, rajin bekerja sebaliknya orang yang malas bekerja, suka menyibuk, baiklah mati.” Ini amat menarik sekali kalau kita tidak malas untuk renungkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN