LIPIS 11 Nov. – Cendol, dodol dan nasi manis berasaskan manisan gula kabung antara makanan tempatan negeri ini yang bakal mewarnai jualan di Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang berlangsung 11 hari di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang bermula 22 November ini.
Pengerusi Persatuan Amal Wanita Pahang Di Ibu Kota (Perawan), Datuk Nor’ashikin Taib berkata, pertubuhan itu diberi peluang oleh kerajaan negeri untuk memasarkan makanan tempatan berasaskan gula kabung termasuk gulai asam tempoyak ikan air tawar dan asam hitam Pahang sempena MAHA 2018.
“Kita mengambil peluang ini untuk membantu kerajaan negeri mengetengahkan makanan tempatan Lipis berasaskan gula kabung (enau) dan ikan patin Sungai Jelai antara projek pembangunan usahawan Perawan terdiri daripada kalangan pengusaha wanita luar bandar.
“Kita menumpukan kegiatan ini di Kampung Budu dan Kampung Peruang kerana di sini mempunyai banyak produk makanan seperti kuih-muih tradisional termasuk cendol berasaskan manisan gula kabung,” katanya selepas program Kembara Ilmu dan Jalinan Kasih Perawan di Kampung Budu, dekat sini hari ini.
Perasmian program itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Biokteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dah hadir sama Penghulu Mukim Budu, Amran Hussin.
Sempena majlis itu, Mohd. Soffi turut melihat simulasi masakan sambal hitam buah belimbing dan nasi manis gula kabung yang diusahakan oleh usahawan wanita Kampung Budu serta Kampung Peruang.
Menurut Nor’ashikin, seramai tiga chef Perawan dan dibantu pengusaha wanita Kampung Budu serta Kampung Peruang ditugaskan menyediakan produk makanan berasaskan gula kabung sepanjang MAHA nanti.
“Kita juga akan memasak sambal hitam Pahang dan gulai asam tempoyak ikan patin Sungai Jelai yang terus dipasarkan kepada pengunjung MAHA dengan harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Soffi berkata, kerajaan negeri akan menyediakan premis pameran di MAHA berkonsepkan ‘Rumah Pahang’ untuk memudahkan kegiatan pasaran termasuk menarik ramai pengunjung menikmati makanan tempatan.
“Pahang akan menghantar ramai usahawan wanita ke MAHA dengan memasarkan produk makanan tempatan, inovasi benih buah-buahan seperti durian Musang King, sayur-sayuran, herba, kraftangan dan kesenian,” katanya.










