KUANTAN 5 Nov. – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Proton Persona di Kilometer 27 Jalan Temerloh-Jerantut, Temerloh dekat sini hari ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, pemandu kereta yang disyaki mabuk turut merempuh dua buah motosikal lain ditunggang dua remaja.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu berusia 29 tahun itu yang hilang kawalan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Ketika kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Krau ke Mempaga, Bentong dan apabila tiba di lokasi merempuh tiga buah motosikal.
“Akibat rempuhan, mangsa Mohd. Aiman Ngatimin, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krau dekat sini maut di lokasi kejadian manakala dua rakannya, Muhammad Ridhuan Azmar, 17, dan Mohd. Amsyar Nadzim Mohd. Nasir, 14, mengami kecederaan serta patah kaki kanan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










