KUANTAN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nurshuhadah Nordin, 17, tetap tenang dan tekun menjawab kertas soalan peperiksaan di katil wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pagi tadi.
Pelajar Maahad Tahfiz Pahang itu mengalami masalah pergerakan disebabkan kekurangan rawan di kedua-dua lutut sejak sembian tahun lalu dan dimasukkan ke wad pada awal pagi semalam untuk menjalani rawatan lanjut.
“Doktor menasihatkan supaya mengurangkan pergerakan dan sebaik-baiknya mengambil peperiksaan SPM di hospital. Saya tidak kesah, paling penting saya tidak ketinggalan untuk ambil peperiksaan ini.
“Saya bersyukur dan gembira kerana dapat menjawab kertas soalan Bahasa Melayu 1 dengan baik,” katanya yang sempat mengulang kaji pelajaran di katil wad hospital sebelum menjawab peperiksaan pagi tadi.
Ujar anak kedua daripada tiga beradik itu lagi, dia tetap bersemangat untuk menduduki semua kertas peperiksaan demi mendapatkan keputusan cemerlang.
“Impian saya pastinya mahu belajar di peringkat lebih tinggi. Alhamdulillah, urusan saya untuk menduduki SPM telah dipermudahkan Allah,” tambahnya yang akan menjalani pembedahan pada tahun depan.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Kuantan, Mohd. Razali Mustafa berkata, seramai sembilan calon SPM di daerah itu menduduki peperiksaan di wad hospital di sekitar daerah itu bermula hari ini.
“Enam calon menduduki peperiksaan di hospital (HTAA), dua lagi di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Kuantan dan seorang di Pusat Perubatan Darul Makmur. – K! ONLINE











