Calon Ketua Cabang PKR Petrajaya tidak puas terhadap JPP - Utusan Malaysia

Calon Ketua Cabang PKR Petrajaya tidak puas terhadap JPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 Nov.- Seorang calon Ketua Cabang PKR Petrajaya di Sarawak melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) kerana didakwa gagal menguruskan pemilihan parti dengan baik sehingga mencetuskan pelbagai masalah.

Menurut Iswardi Morni, 41, perkara ketara boleh dilihat menerusi pelaksanaan sistem pengundian elektronik (e-undi) yang didakwa menimbulkan undi ragu menerusi jumlah undi diterima bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Cabang.

“Seperti berlaku di Cabang Petrajaya, saya terima 159 undi manakala pencabar raih 191 undi tetapi untuk bilangan undi bagi pemilihan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dapat 150 undi manakala lawannya, Rafizi Ramli 120 undi.

“Bagaimana boleh hilang sebahagian undi lagi, kira-kira 50 peratus undi ragu wujud dalam pemilihan parti baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Selain itu, Iswardi turut tidak puas hati di atas keputusan JPP yang menukar tarikh pengundian Cabang Petrajaya pada saat-saat akhir tanpa memaklumkan kepada beliau dan ahli-ahli PKR lain.

Katanya, tarikh pengundian sepatutnya berlangsung pada 10 November sebaliknya ditukar pada keesokan harinya tanpa alasan.

“Pada hari pengundian, kami dapati pusat mengundi tutup dan kosong, selepas itu kami barulah dimaklumkan bahawa tarikh pengundian telah ditukar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan kepada SPRM hari ini agar badan itu dapat melakukan siasatan berhubung dakwaan wujudnya konspirasi membabitkan perjalanan pemilihan Cabang Petrajaya.

“Saya tidak berhasrat membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), biarlah SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat berkenaan perkara ini lebih lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN