CALIFORNIA 9 Nov. – Kira-kira 27,000 penduduk di Paradise yang terletak di utara California diarahkan berpindah ketika kebakaran hutan terus merebak.
BBC melaporkan, Ketua Jabatan Perlindungan Hutan dan Api California, Kapten John Gaddie berkata, terdapat sejumlah penduduk di Paradise terperangkap dalam kediaman mereka akibat api yang marak.
Sehubungan itu, pasukan keselamatan dikerahkan ke kawasan terlibat bagi menyelamatkan penduduk.
Penghuni di sebuah pusat jagaan dan pesakit Hospital Feather River juga terpaksa dipindahkan ke tempat lain.
Jurucakap hospital tersebut memberitahu, selepas pemindahan pesakit dilakukan, bangunan hospital berkenaan musnah akibat kebakaran.
California kini diselubungi asap tebal, sekali gus menjadikan tahap penglihatan pada kadar terhad.
Beberapa kawasan lain yang turut terjejas termasuk Magalia, Concow, Butte Creek Canyon dan Butte Valley.
Bekalan elektrik di utara Sacramento turut dilaporkan terputus akibat kebakaran yang berlaku.
Seorang penduduk di Paradise sedih melihat banyak kediaman hangus terbakar.
Sebuah sekolah rendah di sini juga ditutup dan para pelajar diarahkan berpindah apabila api semakin hampir dengan premis berkenaan.
Kebakaran hutan itu merupakan satu daripada 14 kebakaran aktif di California ketika ini dan pihak berkuasa meletakkan bahagian utara California di bawah tahap ‘Bendera Merah’ iaitu api boleh terus marak dalam tempoh 24 jam.
Orang ramai menerusi media sosial memuat naik banyak gambar dan video yang menunjukkan kawasan hutan di lebuh raya terbakar dengan asap hitam yang tebal.
Kebakaran tersebut bermula awal pagi semalam dan menjejaskan kawasan seluas 8,093 hektar.
Pada Julai lalu, California juga mengalami kebakaran terburuk dalam sejarahnya apabila lebih 900 buah rumah terbakar dan lapan terkorban.
Dalam enam bulan pertama tahun ini, hampir 200,000 ekar kawasan di daerah itu terbakar. – REUTERS/AGENSI











