KOTA KINABALU – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bagi cabang Pensiangan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan yang berlangsung hari ini didakwa tertangguh selama empat jam berikutan masalah teknikal.
Difahamkan, hanya 1,500 daripada 5,000 ahli cabang Pensiangan yang hadir di pusat pemilihan itu sempat mengundi menggunakan kaedah e-undi sebelum talian telefon dan internet terputus.
Masalah teknikal tersebut dipercayai berpunca daripada kerosakan dua kabel fibre telekomunikasi di sekitar dewan pengundian terbabit.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din menepis dakwaan bahawa proses pengundian tertangguh lebih kurang empat jam.
“Benar, terdapat masalah teknikal melibatkan talian telefon dan internet tetapi, perkara ini hanya berlaku kurang dalam tempoh sejam.”Selepas dibaiki proses pemilihan menggunakan e-undi berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Direkodkan, selain Pensiangan, fasa kedua pemilihan PKR Sabah turut berjalan serentak di Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar hari ini.
Sementara 12 cabang lagi seperti Keningau Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan selesai semalam. – K! ONLINE











