KOTA BHARU – Seorang buruh dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol cucu saudara perempuan berusia 15 tahun.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh berusia 45 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Ahmad Bazli mengarahkan hukuman penjara itu berjalan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 20 November lalu.
Mengikut pertuduhan, buruh itu didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di sebuah rumah di Kampung Larak Pendek, di sini antara pukul 5 hingga 5.30 petang, 18 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta minimum 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE










