PULAU PINANG 12 Nov. – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menjelaskan beliau tidak membuat pelaburan dalam sebuah syarikat berkaitan alkohol.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat negeri itu berkata, beliau membeli saham bernilai RM12,500 yang ditawarkan oleh Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Katanya, pembelian berkenaan dibuat menerusi Bank Islam beberapa tahun lalu.
“Tidak ada kena mengena dengan syarikat alkohol cuma namanya sama,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu antara tiga Exco yang membuat pengisytiharan harta hari ini selepas kali pertama dipilih menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut maklumat yang dimuat naik menerusi laman sesawang kerajaan negeri, Takiyuddin membeli saham dalam beberapa syarikat termasuk MALAKOF, MRCB, MTRONIC dan Tiger.
Selain itu, beliau turut mengesahkan memiliki lot tanah di Yan, Kedah bernilai RM80,000 selain tiga lot kedai bernilai RM922,000 serta turut mengisytiharkan lima buah kereta bernilai keseluruhan RM610,000.
Dua lagi Exco yang membuat pengisytiharan aset ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain. – UTUSAN ONLINE










