KUALA LUMPUR 2 Nov. – Belanjawan 2019 meyaksikan kerajaan Pakatan Harapan terus memberi keutamaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah apabila meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM500 hingga RM1,000 membabitkan keluarga yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.
Penambahbaikan BSH juga dibuat apabila bantuan sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang bagi setiap keluarga.
Selain daripada itu, turut diumumkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada kakitangan awam dan pesara kerajaan yang berada pada gred 54 ke bawah dan RM250 bagi pesara.
Bayaran insentif khas ini melibatkan kira-kira 1.6 juta kakitangan awam dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang akan dibayar pada akhir tahun ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran terutama beban keberhutangan negara dan ekonomi dunia tidak menentu, kerajaan PH tidak akan mensia-siakan amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas apabila menyediakan belanjawan sejumlah RM314.5 bilion dengan tekad membantu rakyat, menjamin pembangunan negara dan yang terpenting memulihkan kedudukan fiskal negara dalam tempoh tiga tahun.
“Sesungguhnya, kami berasa amat bertuah kerana diberikan kepercayaan, sokongan dan peluang untuk kerajaan PH mencorak semula pengurusan negara ke arah negara yang lebih maju, berdaya saing dan penuh keikhlasan,’ kata Lim dalam pembentangannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan di Dewan Rakyat.
Pembentangan Belanjawan 2019 kali ini yang bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” mencatat sejarah apabila ia adalah belanjawan yang pertama kerajaan PH sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara susulan kemenangan pada PRU14 pada 9 Mei lepas, mengakhiri dominasi lebih 60 tahun Barisan Nasional. – BERNAMA










