Britain, EU setuju draf Brexit - Utusan Malaysia

Britain, EU setuju draf Brexit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 14 Nov. – Selepas lebih setahun rundingan berliku antara pemimpin United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU), mereka akhirnya dilaporkan mencapai persetujuan mengenai draf perjanjian Britain keluar daripada blok itu atau lebih dikenali sebagai Brexit.

Sumber EU yang dipetik portal Al-Jazeera mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa perjanjian Brexit telah dicapai pada peringkat teknikal namun ia masih memerlukan kelulusan politik di London dan Brussels.

“Kabinet akan bermesyuarat pada pukul 2 petang esok untuk mempertimbangkan draf perjanjian yang dipersetujui pasukan rundingan di Brussels dan memutuskan langkah berikutnya,” kata satu kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri Britain, Theresa May, semalam.

Menurut seorang diplomat yang enggan dikenali, duta daripada 27 negara anggota EU akan mengadakan pertemuan hari ini.

Pada masa sama, pemimpin EU sekali lagi akan mengadakan pertemuan pada 25 November ini bagi memuktamadkan perjanjian Brexit sekiranya kabinet May meluluskan draf berkenaan.

Parlimen UK dijangka mengundi berhubung isu itu pada bulan depan.

Keseluruhan proses pula dijangka selesai pada 29 Mac 2019 apabila Britain secara rasmi keluar daripada EU ekoran pungutan suara pada 2016.

Sementara itu, parti-parti pembangkang UK meminta May supaya beliau memberikan Parlimen undian bermakna berhubung perjanjian perpisahan yang dipersetujui EU.

Dalam sepucuk surat ditulis bersama pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn, pemimpin Parti Nasional Scotland, Ian Blackford dan pemimpin Parti Demokrat Liberal, Vince Cable, mereka menuntut hak membuat pindaan sebelum undian itu.

“Campur tangan terbaharu daripada menteri kerajaan mengandaikan anda dan kerajaan mungkin mengehadkan atau membataskan proses undian muktamad itu dalam usaha untuk mengelak Parlimen.

“Kami mahu menjelaskan bahawa ini sama sekali tidak dapat diterima sepenuhnya,” kata pemimpin itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN