KUALA LUMPUR 12 Nov. – Sepasang suami isteri yang menghilangkan diri selama empat hari kerana terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak berusia tiga tahun berjaya ditahan hari ini.
Suspek lelaki bernama Khairul Izaini Khairuddin, 31, atau dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ ditahan di Hospital Kajang dekat sini, pukul 11 pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, isteri suspek, Noraini Samian, 20, turut ditahan di hospital sama berikutan melahirkan anak lelakinya pagi ini.
Menurutnya, isteri suspek yang juga ibu mangsa dikatakan melahirkan anak di sebuah inap desa di Hulu Langat sebelum menerima rawatan susulan di hospital tersebut.
“‘Boy Tiger’ ditangkap ketika melawat isterinya yang melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah inap desa di Hulu Langat sebelum dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut.
“Reman pasangan suami isteri itu akan dibuat esok dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala bayi lelaki mereka diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya di sini hari ini
Khamis lalu, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun meninggal dunia dipercayai didera dengan kesan lebam dan luka di beberapa bahagian badan serta berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dihantar kedua-dua suspek ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan.
Mereka kemudian menghilangkan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125z berwarna kuning selepas menghantar kanak-kanak itu ke hospital tersebut.










