‘Boy Tiger’, isteri direman - Utusan Malaysia

‘Boy Tiger’, isteri direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penderaan anak ti­rinya berusia tiga tahun sehingga maut, minggu lalu.

Perintah reman bagi tempoh yang sama turut dikenakan terhadap ibu kandung kanak-kanak lelaki itu yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang kerana baru melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah rumah inap desa di kawasan Hulu Langat, pagi semalam.

Terdahulu, perintah reman ke atas suspek lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Haslinda A. Raof bermula hari ini sehingga 19 November setelah lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan bahawa pasangan suami isteri yang berusia 31 tahun dan 20 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, lelaki yang memakai baju T berwarna hitam itu kelihatan tenang ketika ma­suk ke mahkamah bagi permohonan reman kira-kira pukul 11 pagi dan keluar dari mahkamah pada pukul 12 tengah hari. Prosiding reman terhadap isterinya dilakukan di Hospital Kajang.

Pada 9 November lalu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, maut dipercayai akibat didera.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia selepas 30 minit dihantar ke Hospital Ampang oleh bapa tiri serta ibu kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Laporan polis dibuat selepas mendapati terdapat beberapa kesan luka dan lebam di muka, perut, dada serta bahagian belakang mangsa.

Susulan itu, bapa tiri serta ibu kanak-kanak berkenaan me­larikan diri menaiki motosikal Yamaha 125z berwarna kuning.

Setelah empat hari menghilangkan diri, suspek lelaki itu berjaya ditahan pada pukul 11 pagi semalam di Hospital Kajang semasa melawat isterinya yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas me­lahirkan seorang bayi di sebuah rumah inap desa.

Ekoran penangkapan pasa­ngan tersebut, bayi mereka akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN