KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kakitangan awam boleh menarik nafas lega selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih bermurah hati untuk meneruskan tradisi pemberian bonus seperti yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini.
Semasa membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 54 dan ke bawah serta bayaran khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.
Katanya, pemberian itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi kesemua penjawat awam semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Berbanding dengan pentadbiran dahulu yang lazimnya menyalurkan bayaran khas pada tahun depan, kerajaan PH akan menyalurkan bayaran khas sebelum hujung tahun ini,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2019 di Parlimen, di sini sebentar tadi.
Tambahnya, jumlah bayaran khas itu dijangka membabitkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.-UTUSAN ONLINE










