MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kira-kira 10,000 anggotanya di seluruh negara sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, pembekuan cuti itu melibatkan pegawai dan anggota bomba daripada 296 Balai Bomba yang terdiri daripada 48 zon seluruh negara.
“Sebagai persiapan awal, kita mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko dilanda banjir di samping memantau maklumat terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka di Dewan Seri Negeri hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga memberi tumpuan terhadap aspek persedian peralatan logistik dan tindakan yang sepatutnya dilakukan termasuk rondaan di kawasan tertentu terutamanya di kawasan Pantai Timur negara dan beberapa kawasan di Utara serta Selatan tanah air.
Katanya, selain daripada itu, pihaknya juga mengenalpasti beberapa kawasan yang berisiko khasnya pantai-pantai di bahagian barat, tengah dan utara di Sabah dan Sarawak. – Bernama










