KUALA TERENGGANU 3 Nov. – Khidmat pasukan bomba terpaksa dipanggil bagi memindahkan seorang wanita yang sarat mengandung dari Kampung Seri Bayas, Setiu ke hospital petang ini.
Siti Maisarah Merasidi yang sepatutnya melahirkan bayi keempatnya pada Rabu lalu dibawa keluar menggunakan bot kerana jambatan yang menghubungkan kampung itu dinaiki air sejak awal pagi ini ekoran hujan berterusan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, kerja-kerja pemindahan selesai kira-kira pukul 5.15 petang tadi dengan bantuan empat anggota bomba.
“Bomba menerima permohonan dari Hospital Setiu pada pukul 1 petang bagi membawa seorang ibu yang terlebih hari dari Kampung Seri Bayas
“Operasi membawa ibu tersebut dilakukan dengan menggunakan sebuah bot penyelamat bagi dihantar ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Setiu mula dinaiki air hari ini namun tiada pemindahan dan laluan terputus dilaporkan setakat petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning berikutan jangkaan hujan lebat dan angin kencang di seluruh daerah di negeri ini bermula hari ini hingga esok.
Sehubungan itu, semua pusat operasi/kawalan bencana peringkat pusat seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Negeri bersiapsiaga menghadapi pelbagai bencana yang dijangka.
Selain Terengganu, amaran cuaca waspada peringkat kuning turut melibatkan beberapa kawasan di Kelantan di samping di Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.- UTUSAN ONLINE










