MELBOURNE, Australia – Usain Bolt menamatkan sesi percubaan bersama Central Coast Mariners dan bakal meninggalkan kelab A-League itu selepas gagal mencapai persetujuan bagi terma komersial.
Pemenang pingat emas Sukan Olimpik itu sebelum ini dalam misi meraih kontrak profesional bola sepak pada usia 32 tahun menjalani sesi latihan dan percubaan pada pramusim kelab yang berpangkalan di Sydney tersebut.
Sepanjang dua bulan beraksi bersama Central Coast Mariners, Bolt mempamerkan persembahan kurang memberangsangkan sekali gus mencetuskan keraguan mengenai peluangnya meraih kontrak.
Bagaimanapun, pemilik kelab, Mike Charlesworth berkata, pasukan itu teruja dapat bekerjasama dengan pelari dari Jamaica itu.
“Biarpun kami gagal mencapai persetujuan, kami gembira dapat bersama juara Olimpik dan pemegang rekod dunia beraksi di sini untuk lapan minggu,” katanya menerusi kenyataan bersama Bolt hari ini.
Sementara itu, Bolt mengucapkan terima kasih dan semoga maju jaya kepada Central Coast Mariners bagi menghadapi musim baharu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik, pengurusan, staf, pemain dan penyokong Central Coast Mariners yang membuatkan saya begitu dialu-alukan di sini. Saya berharap kejayaan kelab pada musim akan datang,” ujarnya. – AGENSI











