AWANG tertarik dengan keputusan kerajaan berkaitan politik dan pilihan raya. Pertama mengenai penubuhan cawangan parti politik di universiti awam dan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun. Ini bermakna, anak-anak muda, selepas setahun meninggalkan persekolahan wajib (sehingga tingkatan lima) mempunyai peranan lebih besar untuk mencorakkan hala tuju negara. Mereka boleh berpolitik secara bebas di kampus apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dipinda. Diharapkan, penubuhan cawangan atau kelab parti politik di kampus tidak mengganggu tumpuan atau fokus pembelajaran golongan ini. Mereka bukan sekadar bebas berpolitik dan mengundi malahan boleh mencalonkan diri untuk bertanding. Sudah tentu kerajaan bukan sekadar mahu memenuhi janji pilihan raya tetapi telah mengambil kira pelbagai pandangan berhubung isu ini. Apa pun kita tunggu perbahasan mengenainya selepas dibawa ke Dewan Rakyat. Begitu juga cadangan pendaftaran pengundi secara automatik bagi yang berusia 18 tahun.
Awang percaya pendaftaran secara automatik lebih baik dan adil bagi mengelakkan mereka yang layak mengundi tidak berbuat demikian atas pelbagai faktor. Walaupun mungkin ada masalah lain, apa yang penting, setiap orang yang layak mengundi perlu ada di dalam senarai daftar pemilih. Selepas ini tidak ada lagi isu mereka yang layak mengundi tidak mendaftar kerana jumlahnya amat besar. Rugi jika lebih lima juta yang layak tidak dapat mengundi.
AWANG – Pengundi di kampung.











