PULAU PINANG 10 Nov. – Para pemimpin PKR yang mempersoalkan peningkatan mendadak ahli-ahli parti di Cabang Julau, Sarawak sebenarnya turut ‘terlibat’ meluluskan permohonan kemasukan mereka yang kini dianggarkan melebihi 13,000 orang.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengikut Perlembagaan parti, pendaftaran ahli-ahli baharu perlu mendapat kelulusan Biro Politik PKR yang bermesyuarat hampir setiap minggu.

Menurut beliau, biro berkenaan turut dianggotai oleh bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau sendiri serta beberapa pemimpin lain termasuk Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Rafizi Ramli.
“Sebelum ini, Cabang Julau cuma ada 600 orang ahli dan pada masa itu tidak ada sesiapa pun yang bising malah PKR pun tidak menang di situ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Azmin serta beberapa pemimpin termasuk Zuraida mempersoalkan jumlah ahli di Julau yang meningkat mendadak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Cabang Julau kini menjadi ‘tumpuan luar biasa’ apabila bakal menjadi detik penentu kepada persaingan sengit membabitkan Mohamed Azmin dan Rafizi untuk jawatan Timbalan Presiden parti.
Mohamed Azmin semalam turut mendesak Saifuddin Nasution mengambil serius masalah yang berlaku di cabang berkenaan yang menurutnya boleh menyebabkan parti ‘jahanam’ jika tidak ditangani dengan berkesan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sambutan luar biasa untuk menyertai PKR di Julau adalah kerana aura yang dimiliki Ahli Parlimennya, Larry Sng selain faktor terdapat banyak rumah panjang di situ yang dihuni hampir 500 orang setiap satu.










