JOHOR BAHRU 12 Nov. – Kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa projek besar untuk dilaksanakan di negeri ini tahun depan termasuk pembinaan lapangan terbang di Mersing dan jambatan baharu menghubungkan Johor Bahru-Singapura.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, lokasi pembinaan lapangan terbang di Mersing sedang dikenal pasti dan akan dibangunkan menerusi peruntukan oleh kerajaan Pusat di bawah projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menurutnya, pembinaan lapangan terbang bagi operasi penerbangan tambang murah itu bukan sahaja untuk laluan domestik tetapi juga antarabangsa, namun bukan untuk kapal terbang jenis Boeing tetapi lebih kepada pesawat kecil seperti Fokker.
“Pembinaan lapangan terbang di Mersing ini kita buat baharu, masa perbincangan Perdana Menteri setuju dan ECER akan main peranan. Dua tempat sudah dikenal pasti sebagai lokasi dan kosnya akan dinilai oleh konsultan yang akan dilantik.
“Kita juga akan bina jambatan bengkok, mungkin bengkok mungkin tak bengkok tapi mungkin akan dilaksanakan. Ini mungkin akan menjadi realiti dan semua agak setuju selepas penjelasan demi penjelasan khususnya untuk kita selesai masalah kesesakan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Johor Sesi 2018/2019 di sini, hari ini.
Tambahnya, daerah Segamat juga yang sudah dimasukkan sebagai sebahagian ECER sekali gus diyakini mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan terlibat apabila beberapa infrastruktur akan dinaik taraf antaranya Segamat Inland Port selain membangunkan daerah itu sebagai pusat ternakan lembu susu serta daging secara besar-besaran.
Beliau berkata, Segamat turut menjadi keutamaan kerajaan negeri sekali gus diyakini dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah tersebut yang kini berdepan penghijarahan anak muda ke bandar ekoran kekurangan peluang pekerjaan.
“Ramai orang muda di Segamat berhijrah ke daerah lain, sebab itu kita perlu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan supaya orang muda tak berhijrah ke daerah lain. Lebih banyak lagi kilang bisnes yang boleh bagi peluang pekerjaan,” katanya.










