Bina laluan kerjaya khas - Utusan Malaysia

Bina laluan kerjaya khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 6 Nov. – Membina laluan kerjaya dan pembentukan program pembinaan kapasiti merupakan inisiatif boleh diwujudkan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti penoreh getah dan nelayan untuk keluar daripada kemelut kemiskinan.

Pengarah Institut Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail berkata, penoreh getah dan nelayan adalah kumpulan yang berdepan dengan pendapatan tidak konsisten menyebabkan mobiliti sosial mereka bergerak perlahan.

“Kapasiti berasaskan potensi sedia ada perlu ditingkatkan seperti memberikan latihan kemahiran kontemporari yang sesuai dengan minat dan potensi mereka. Ini termasuklah menggalakkan mereka terlibat dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khas untuk golongan belia.

“Pihak berkuasa pula perlu terus memberikan bantuan namun secara sistematik bagi mengelakkan kebergantungan terus berlaku. Ini termasuklah disyaratkan mereka untuk mengikuti program khusus bagi meningkatkan kapasiti mereka.

“Dalam masa yang sama polisi khusus perlu dibangunkan bagi mengawal kenaikan kos bara­ngan dan sara hidup, khususnya berkaitan komuniti tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Amir Zal berkata, bagi membina laluan kerjaya khusus untuk golongan itu, institut latihan berkaitan seperti Institut Akuakultur Marin, Institut Perikanan Malaysia dan Akademi Perikanan Malaysia (APM) perlu diperkasa.

Di samping itu katanya, golongan wanita juga perlu didorong untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi yang lebih berdaya upaya dan tidak berkaitan dengan kerja ketua isi rumah.

“Sekarang ramai golongan isteri yang bekerja, namun mereka hanya membantu kerja yang dilakukan oleh suami. Ia tidak menjadi sumber tambahan pendapatan yang signifikan untuk keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN