JOHOR BAHRU 12 Nov. – Jambatan bengkok yang dibangkitkan semula pembinaannya baru-baru ini mungkin berbentuk lurus dan tidak bengkok, kata Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut mungkin menjadi realiti dan dipersetujui selepas beberapa siri penjelasan dibuat khususnya untuk menyelesaikan masalah kesesakan.
“Kita juga akan bina jambatan bengkok, mungkin bengkok mungkin tak bengkok tapi mungkin akan kita laksanakan.
“Ini mungkin menjadi realiti…takde komen, semua agak setuju selepas penjelasan demi penjelasan khususnya untuk kita menyelesaikan maslaah kesesakan,” katanya ketika ditanya mengenai projek besar yang akan dilaksanakan di Johor tahun depan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Johor Sesi 2018/2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini sebentar tadi.
Osman berkata, selain jambatan bengkok, kerajaan negeri juga merancang untuk membina lapangan terbang tambang murah di Mersing menerusi peruntukan kerajaan pusat di bawah projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). – UTUSAN ONLINE










