AMPANG JAYA 6 Nov. – Seramai 2,000 penghuni di De Puncak Ukay, Ukay Perdana di sini berdepan risiko tanah runtuh ekoran pembangunan projek perumahan di kawasan cerun bukit di Jalan UP3/1 berhampiran kediaman mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk De Puncak Ukay, Zaini Ramli berkata, pihak pemaju akan mendirikan sebanyak 500 unit kediaman teres dua tingkat setengah di kawasan cerun bukit itu yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk setempat.
Jelasnya, projek pembinaan itu telah dimulakan sejak tiga tahun lalu namun terhenti selama kira-kira dua tahun dan diteruskan semula sejak enam bulan lepas.
“Sepanjang projek ini dijalankan banyak masalah berlaku seperti kejadian paip pecah, tanah runtuh, bekalan elektrik terputus dan kehadiran haiwan liar ekoran penebangan pokok.
“Penduduk hairan bagaimana pemaju mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan mudah sedangkan pembinaan itu bakal mengundang bahaya kepada penduduk,” katanya kepada pemberita semasa bantahan bersama lebih 100 penduduk berhubung isu berkenaan, baru-baru ini.
Menurut Zaini, persatuan penduduk telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya turun padang bagi melihat risiko projek berkenaan.
“Kami mahu pihak KPKT melihat sendiri keadaan cerun supaya kajian semula dapat dijalankan. Kami memberi tempoh selama dua minggu hingga 21 hari kepada kementerian berkenaan,” katanya.
Tambahnya, jika kemelut itu tidak dapat diselesaikan, penduduk akan membawa perkara berkenaankepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.










