PUTRAJAYA 7 Nov. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof khuatir akan timbul kontroversi ekoran perbuatan pihak tertentu mengedarkan Bible di sekolah termasuk kepada pelajar Melayu seperti berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.
Menurut Mujahid, selepas perkara itu tular, beliau segera mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
“Saya akui berlaku kegiatan mengedarkan Bible oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persoalan yang timbul kitab berkenaan diedarkan kepada siapa, adakah untuk orang Melayu atau hanya diedarkan kepada orang bukan Islam.
“Perkara berkenaan jelas menimbulkan kontroversi, daripada maklumat yang kita dapat ada juga Bible yang diberikan kepada orang Melayu,” katanya ketika menjawab soalan salah seorang peserta Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di sini hari ini.
Semalam, Mujahid dalam sidang akhbarnya mengakui berlaku kegiatan mengedar Bible di Bukit Mertajam seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Mujahid dalam sidang akhbar selepas sesi town hall berkata, beliau masih menunggu maklumat-maklumat tambahan daripada pihak berkuasa polis selepas keterangan diambil daripada pelajar dan pengetua sekolah tersebut hari ini.
“Saya difahamkan sebaik sahaja pelajar Islam dan bukan Islam keluar dari pekarangan sekolah, pengedar Bible ini tersalah bagi kerana mereka ingat ia diserahkan kepada yang bukan Islam.
“Sebab itu dari awal lagi saya katakan benda itu (perbuatan mengedarkan Bible) bukan suatu tindakan bijak untuk berbuat demikian (di sekolah),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mujahid berharap penguatkuasaan turut ditumpukan kepada soal keluarga berikutan ketika ini ramai wanita yang diceraikan tidak mendapat hak mereka apabila bekas suami ‘lepas tangan’.
“Perkara ini sudah dibincangkan di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), saya harap penguatkuasaan itu dipertingkatkan contohnya sekatan bank.
“Berdasarkan aduan yang diterima, ramai isteri menghadapi kesusahan ekoran kegagalan dan kecuaian suami membayar nafkah yang sudah diputuskan mahkamah. Jadi perlu ada penguatkuasaan yang lebih tegas agar keputusan mahkamah dihormati,” katanya.










