Bersatu Bahagian Arau mahu Dr. Mahathir kekal jadi PM sehingga PRU-15 - Utusan Malaysia

Bersatu Bahagian Arau mahu Dr. Mahathir kekal jadi PM sehingga PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 10 Nov. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Arau berharap Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam masa sama, Bersatu bahagian itu juga akan membawa usul meminta Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri itu pada perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur pada Disember depan.

ABU BAKAR HAMZAH
ABU BAKAR HAMZAH 

Setiausaha Bersatu Bahagian Arau, Abu Bakar Hamzah berkata, tempoh dua tahun tidak cukup untuk Dr. Mahathir membantu memulihkan negara dan pengalaman Pengerusi Pakatan Harapan itu amat ditagih untuk menyelesaikan pelbagai masalah pada masa ini.

Justeru, Abu Bakar berharap parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan dapat memahami situasi tersebut dan memberi peluang kepada Dr. Mahathir terus menerajui negara sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun ini.

“Bersatu Bahagian Arau menyokong Dr. Mahathir meneruskan kepemimpinan sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15. Kita juga telah sebulat suara meluluskan usul tersebut pada persidangan Bersatu Bahagian Arau baru-baru ini.

“Dalam keadaan kecelaruan politik sekarang, pengalaman Dr. Mahathir amat ditagih. Selepas tempoh itu, barulah lakukan peralihan kuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Arau, Dr. Ammar Hassan dan barisan kepemimpinan Bersatu Bahagian itu.

Baru-baru ini, Bersatu Bahagian Setiawangsa mengemukakan usul mahu
Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun ketika mengulas usul tersebut selepas itu, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan berpegang pada janji untuk menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Ameir Hassan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Arau dan Pengerusi Pakatan Harapan negeri.

“Meskipun terdapat tangan-tangan ghaib cuba memecah belahkan parti namun kami tetap berdiri teguh bersama Ameir,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN