Berita palsu tentang daging manusia dihidang kepada pelanggan di restoran di Bangkok - Utusan Malaysia

Berita palsu tentang daging manusia dihidang kepada pelanggan di restoran di Bangkok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Berita yang ditularkan tentang mayat mangsa bunuh yang dikerat-kerat dan dagingnya dihidangkan kepada pelanggan di sebuah restoran vegetarian di Lat Krabang, dekat  Bangkok, baru-baru ini, disahkan sebagai berita palsu, kata Polis Thai.

Sungguhpun polis mengesahkan berlaku kes pembunuhan di restoran itu, namun aspek mengerikan dalam berita itu, misalnya mayat mangsa dikerat-kerat dan dagingnya disajikan bersama mi kepada pelanggan restoran, tidak berlaku seperti yang didakwa.

“Tiada sesiapa pun yang makan mi di restoran berkenaan oleh sebab tempat itu ditutup sementara bagi kerja-kerja pengubahsuaian semasa tempoh insiden itu dikatakan berlaku,” kata pegawai penyiasat kes pembunuhan, Kol Charnwit Pumpho, kepada Bernama ketika dihubung di sini hari ini.

Beliau turut menyangkal dakwaan oleh laporan berita itu bahawa pelangganlah yang membuat laporan polis tentang jenayah itu selain penemuan daging manusia di dalam mi, dan  menegaskan, pada masa itu, tiada pelanggan yang berkunjung ke restoran terbabit yang ditutup untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Laporan polis itu, menurut Charnwit, sebenarnya difailkan oleh penduduk berhampiran yang terganggu oleh bau busuk yang datang dari restoran, dan membawa kepada penemuan mayat manusia di dalam tangki septik berhampiran dapur restoran.

Disebabkan gambaran salah tentang pembunuhan itu, artikel berita berkaitan kes itu menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial di Thailand dan beberapa negara berjiran termasuk Malaysia, justeru menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa Thai berhubung kesannya terhadap imej serta industri pelancongan negara.

Sebaik sahaja polis menerima laporan lebih seminggu lepas, mereka pergi ke restoran itu dan menjumpai cebisan otak manusia selain percikan darah di dalam dapur restoran.

Hasil siasatan lanjut, polis menjumpai mayat seorang lelaki yang separuh reput dengan beberapa kesan tikaman,  terperosok di dalam tangki septik berhampiran dapur dan kemudian mengenal pasti identiti mayat itu sebagai Prasert Inpathom, 61.

Polis kemudian menahan suspek berumur 68 tahun, yang didakwa sebagai orang terakhir dilihat berada bersama-sama mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Imigresen Thailand, Mejer Jeneral Surachate Hakpal berkata, pihak berkuasa akan meneliti kesan berita palsu itu terhadap Thailand. – Bernama

Restoran yang menjadi tempat pembunuhan telah ditutup dan tiada hidangan mi seperti yang didakwa. Kr
Restoran yang menjadi tempat pembunuhan telah ditutup dan tiada hidangan mi seperti yang didakwa. Kredit foto oleh Oriental Daily

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN