Beri kanak-kanak Rohingya peluang pendidikan - Wan Azizah - Utusan Malaysia

Beri kanak-kanak Rohingya peluang pendidikan – Wan Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Kanak-kanak etnik Rohingya yang berada di negara ini perlu diberikan peluang untuk mendapatkan akses pendidikan sebaiknya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, tidak semua kanak-kanak berpeluang merasai kemeriahan permulaan sesi persekolahan dan etnik Rohingya merupakan antara generasi yang tidak berpeluang menerima pendidikan formal.

“Kegagalan mendapat pendidikan formal menyebabkan golongan kanak-kanak ini terdedah kepada pelbagai situasi yang membimbangkan seperti buruh kanak-kanak, penderaan, eksploitasi dan keganasan. Ia juga boleh menyebabkan mereka terus terperangkap dalam kemiskinan.

“Berilah peluang untuk kanak-kanak Rohingya ini mendapat pendidikan. Semoga dengan ilmu yang diperoleh ini kelak dapat membantu mereka apabila kembali semula ke tanah air,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Amal Tabung Pendidikan Rohingya anjuran Malaysian Relief Agency (MRA) di Bangi, dekat sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir.

Yang hadir sama ialah Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman.

Sementara itu, jelas Wan Azizah, bagi memastikan pembelajaran formal dapat diberikan sebaiknya kepada kanak-kanak Rohingya, sumbangan dana kewangan adalah sangat penting bagi kelangsungan pendidikan mereka.

“Penganjuran Majlis Makan Malam Amal Tabung Pendidikan Rohingya ini merupakan salah satu usaha MRA untuk mengumpulkan dana bagi tujuan penyediaan kemudahan pendidikan formal.

“Syabas kepada MRA dan para dermawan yang telah memberi sumbangan untuk menjayakan majlis ini sekali gus bagi membolehkan hak kanak-kanak ini untuk memperoleh ilmu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Daud memberitahu, penganjuran majlis berkenaan bertujuan memperkasakan Sekolah Komuniti Rohingya (RCS) yang dikendalikan oleh pertubuhan tersebut.

“Selain RCS yang telah ditubuhkan di Kampung Cheras Baru sejak 2009, MRA pada tahun ini juga baru menubuhkan RCS di Sungai Petani, Kedah serta mengendalikan sebuah sekolah di kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.

“Jadi dengan tiga komitmen ini, MRA merasakan keperluan untuk mencari dana bagi memperkasakan sekolah-sekolah ini. MRA anggarkan kos untuk menampung operasi sekolah-sekolah tersebut menelan belanja sekitar RM500,000 setahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN