Berbasikal jelajah selatan Thailand - Utusan Malaysia

Berbasikal jelajah selatan Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 11 Nov. – Seramai 112 peserta dari tujuh negeri bergabung menjayakan Konvoi Berbasikal Jelajah Sungai Kolok-Yala-Pattani yang terletak di wilayah selatan Thailand, baru-baru ini.

Program selama dua hari itu melibatkan peserta dari negeri ini, Melaka, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Pahang.

Pengelola program, Che Samsudin Abdullah berkata, konvoi dimulakan dengan berkumpul di pintu masuk Rantau Panjang/Golok, di sini sebelum menaiki keretapi di Sungai Kolok menuju ke Yala yang mengambil masa tiga jam.

“Kami menyewa dua gerabak untuk memuatkan peserta bersama basikal masing-masing selain memanfaatkan masa terluang di dalam gerabak untuk sesi suai kenal dalam kalangan mereka.

“Perjalanan ini cukup bermakna untuk peserta kenal mengenali. Tambang untuk sebuah basikal hanyalah sebanyak 90 bath iaitu RM 11.40 manakala tambang setiap peserta seba­nyak 20 bath (RM 2.50) bagi perjalanan sehala,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Samsudin berkata, kayuhan santai kemudiannya bermula di Pekan Yala menuju Pattani dengan jarak sejauh 40 kilo­meter sambil meninjau panorama per­kampungan Melayu di daerah itu.

Menurutnya, aktiviti santai itu turut dimaklumkan kepada pihak berkuasa wilayah ber­kenaan bagi memastikan ke­selamatan peserta terjamin.

“Kami tiba di Pattani pada pukul 5.30 petang, bermalam di Hotel Park View Pattani dan pada keesokannya peserta berbasikal sambl melawat Masjid Kerisik.

“Ini adalah program kali ketiga yang lebih berkosepkan sukan santai pelancongan yang semakin diminati ramai,” katanya.

Menurutnya, kayuhan kali keempat akan diadakan pada 21 hingga 22 Disember depan dengan memberi keutamaan kepada perserta yang belum me­nyertai program yang dianjurkan sebelum ini.

“Bagi konvoi berbasikal 4.0 beberapa lokasi seperti Universiti Princess Songkla 1, Pusat Kraftangan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pattani, beberapa Pusat Pengajian Tahfiz dan Pusat kebudayaan Selatan Thailand adalah persinggahan yang telah dirancangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN