DUNGUN 10 Nov – Cubaan seorang anggota polis mengejar suspek kes samun di Kampung Baru Durian Mentangau di sini berakhir tragedi apabila kedua- duanya terjatuh ke dalam Sungai Paka dan dikhuatiri lemas malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa, Konstabel Wan Mohd. Arrif Wan Yahya, 28, yang bertugas di Balai Polis Paka dikatakan mengejar suspek dikenali sebagai ‘Zam Ayam’ yang terlibat dalam kejadian samun di sebuah rumah di Kampung Limbong, Bandar Paka, pada Khamis lalu.
Ketua Polis daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan setugas sedang melakukan intipan di sekitar kawasan kediaman suspek.
Menurutnya, suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri ke belakang rumahnya dan dikejar oleh mangsa, namun kedua-duanya dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Ujarnya, rakan sekerja mangsa yang melihat kejadian tersebut cuba menyelamatkan mang- sa dan suspek, namun gagal sebelum mereka melaporkan kejadian tersebut kepada pegawai bertugas.
“Rakan setugas mangsa melihat kedua-duanya (mangsa dan suspek) cuba berenang menyelamatkan diri, namun terhalang kerana arus air sungai yang deras akibat hujan berterusan sejak dua hari lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Baharudin memberitahu, berikutan itu, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka yang diketuai Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Redzuan Adnan bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 10.30 malam.
Jelasnya, operasi mencari disambung semula pada pukul 7 pagi ini selepas dihentikan sementara pada pukul 3.15 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian sejauh empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa dan suspek dikesan.
Tambahnya, operasi pencarian dasar akan dilakukan oleh Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman untuk operasi penyelaman di sekitar lokasi kejadian dan setakat pukul 5 petang ini, mangsa dan suspek masih belum dijumpai.










