KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pembentangan Belanjawan 2019 khusus berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan satu ‘penipuan’ kepada rakyat.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pembayaran balik melalui potongan gaji berjadual peminjam melebihi RM1,000 sebulan bermakna kerajaan mewajibkan potongan gaji kepada semua peminjam.
Katanya, ini menunjukkan apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memulakan bayaran balik di tangga gaji RM4,000 tidak dilaksanakan.
Jelasnya, sebelum ini, PTPTN memang melaksanakan sistem bayaran balik melalui potongan gaji, namun tidak wajib dan dilaksanakan atas persetujuan peminjam, namun apa yang dilakukan PH bertentangan dengan janji 100 hari.
“PH juga mencadangkan potongan kepada peminjam daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan Kelas Pertama yang difahamkan untuk peringkat Ijazah sahaja. Dasar baru ini bermakna bukan semua peminjam mendapat keistimewaan ini.
“Selama ini polisi ‘pengecualian bayaran’ telah dilaksanakan kepada lepasan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Sejak dilaksanakan sehingga Mac 2018 sejumlah 45,000 pelajar mendapat nikmat ini dengan hampir RM1.5 bilion dibelanjakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










