JOHOR BAHRU 6 Nov. – Bajet Johor 2019 sudah berada di peringkat akhir dan sedia untuk dibentangkan kepada masyarakat pada 29 November ini.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, belanjawan tahun ini disediakan setelah mendapatkan input daripada lebih 2,000 pihak.
Katanya, belanjawan itu juga merupakan terjemahan harapan rakyat kepada kerajaan dan disampaikan semula oleh kerajaan kepada rakyat.
“Proses menyediakan bajet negeri kini berada di peringkat akhir dan esok akan dibentangkan dalam Mesyuarat Exco negeri.
“Bajet ini memiliki enam teras utama dan bersifat menyeluruh, merangkumi bahagain utara, selatan, barat dan timur negeri ini,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Perayaan Deepavali di Skudai dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar negeri, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang.
Osman turut memaklumkan pembentangan bajet negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dibuat menggunakan pendekatan tersendiri dan tidak bermaksud meniru mana-mana pihak.
“Pembangkang boleh katakan apa sahaja, kita tidak dapat menutup mulut mereka. Tapi bajet ini bukan rebranding (penjemaan semula) tetapi menggunakan pendekatan yang tersendiri.
“Sedikit sebanyak persamaan itu tidak dapat dielakkan, mana-mana negara begitu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas.










