Belanjawan 2019 pinggirkan Terengganu, Kelantan?  - Utusan Malaysia

Belanjawan 2019 pinggirkan Terengganu, Kelantan? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 3 Nov. – Pembentangan Belanjawan 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semalam seolah-olah meminggirkan Terengganu dan Kelantan apabila tiada sebarang projek pembangunan rakyat melibatkan kedua-dua negeri yang diterajui Pas. 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan PH gagal mempamerkan iltizamnya dalam menghayati retorik pembangunan wilayah yang seimbang sebagaimana terkandung dalam manifesto di samping Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

Lebih mengecewakan, katanya, kebanyakan pembangunan yang disebut dalam pembentangan itu hanya tertumpu kepada projek-projek di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak.

“Jika di pembentangan tahun-tahun lalu ada projek di Terengganu atau Kelantan diumumkan, tahun ini macam tiada apa-apa. 

“Tentu sekali memang ada senarainya tetapi apabila tidak disebut, maka seolah-olah projek di Terengganu dan Kelantan tidak signifikan untuk disebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pembentangan Belanjawan 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam mencatatkan sejarah sebagai yang pertama dilakukan oleh kerajaan PH sejak mengambil alih pentadbiran negara daripada Barisan Nasional (BN).

Ahmad Amzad bagaimanapun berkata, langkah penjimatan yang diambil kerajaan Pusat dengan memberi tumpuan kepada penerusan projek yang betul-betul memberi manfaat kepada rakyat di samping pengurusan kos menerusi rundingan semula harga dan spesifikasi termasuk membatalkan pembangunan mega yang membazir dan bermasalah adalah wajar.

Namun, katanya, projek berimpak tinggi seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mempunyai kesan jangka panjang untuk pembangunan wilayah Timur perlu dicari jalan penerusan dan jangan terburu-buru dibatalkan.

“Saya mengalu-alukan peruntukan besar sehingga RM60 bilion bagi sektor pendidikan yang menjadi penentu pembentukan warga berkualiti dan berdaya saing.

“Saya juga tertarik dengan penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang Negara, pengenalan Akta Kebertanggungjawapan Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan, mudah-mudahan menambah ketelusan dalam pengurusan wang awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN