Belanjawan 2019 perlu lebih inovatif - Utusan Malaysia

Belanjawan 2019 perlu lebih inovatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS PERUNDINGAN MELAYU (MPM) menyambut baik cadangan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2019, berkaitan usaha memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan ekonomi kaum hawa.

Pun begitu, MPM melihat dana yang diperuntukkan bagi pembangunan PKS seperti juga dalam Belanjawan 2019 adalah tidak bersasar. Manakala cadangan memperkukuhkan peranan wanita dalam pasaran tenaga kerja yang dibentangkan pula dilihat hambar.

Dana bagi pembangunan PKS merupakan peruntukan pukal yang rambang, menyukarkan pelaksanaan kerana pihak institusi kewangan tidak dapat memberi fokus kepada sesuatu bidang bisnes yang terancang melengkapi rantaian nilainya.

Kerapkali sesuatu permohonan dana itu merupakan satu permohonan yang bersifat ‘stand-alone’.

Di kesempatan ini Panel Petugas Khas MPM Bagi Belanjawan 2019 ingin mengesyorkan dua langkah jangka pendek yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan dan boleh dilaksanakan segera.

Pertama, berkaitan dengan pembangunan PKS dan kedua, pemerkasaan agenda ekonomi hawa.

Bagi langkah pertama, MPM menumpukan cadangan kepada usaha menambah bilangan PKS yang mampu bayar cukai korporat.

MPM lebih cenderung menyarankan kepada kerajaan untuk dengan segera membangunkan ekosistem kewangan  yang kondusif  bagi sesuatu sektor ekonomi yang punyai rantaian nilai yang lengkap dan saling menjamin antara satu sama lain. 

Sistem kewangan begini  mampu melonjakkan PKS menjadi progresif dan berdaya saing yang akhirnya mampu menjadi pembayar cukai korporat yang produktif, iaitu nilai cukai korporat yang substantif.

Justeru, usaha MPM bersama SME Corp melaksanakan Program LGC Ascend 800 sejak 2013 hendaklah digerakkan semula dan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2019. 

MPM penuh yakin dengan kepimpinan di MED, kementerian ini mampu menerajui usaha ini, melahirkan ratusan mid-tier corporations berdaya-maju dalam  kalangan PKS yang dimaksudkan itu.

Mengenai Strategi Memperkukuhkan Peranan Wanita Dalam Pasaran Tenaga Kerja, cadangan Belanjawan 2019 ini dilihat hambar dalam menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan Sustainable Development Goals (SDG), terutama Agenda Kelima mengenai Pemerkasaan Peranan Wanita.

Jika dirujuk kepada laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, ILO (2015) mengenai peratus firma bisnes dimiliki wanita dan peratus agihan pengurusan wanita dalam bisnes dan perkhidmatan kerajaan, negara kita masih jauh ketinggalan.

Statistik yang ILO dapat perolehi bagi Malaysia ialah tahun terkini 2007, pada paras 13.1% pemilikan dan 21.5 peratus jawatan pengurusan bagi tahun 2012. Maknanya negara kita masih jauh ke belakang dalam usaha pemerkasaan agenda wanita (hawa). 

Bayangkan, ketika kita begitu jauh ketinggalan daripada melaksanakan agenda ini, dalam Belanjawan 2019, apa yang termampu difikirkan oleh Kementerian Kewangan mengenai Ekonomi Kaum Hawa hanyalah mengenai pembangunan dan pengurusan tadika (Perenggan 195). Itupun dengan peruntukan yang amat tidak signifikan.

Kerajaan sepatutnya lebih inovatif dalam penerokaan dan pembangunan Ekonomi Wanita.

Di samping kemampuan mereka bersaing dengan kaum lelaki dalam semua bidang ekonomi, ada beberapa bidang ekonomi yang lebih secocok dengan mereka, yang kami kategorikan di sini sebagai Ekonomi Wanita.

Bukan itu saja, dengan peruntukan yang teramat kecil itu, jelas bahawa Kementerian Kewangan bertanggapan model pembangunan dan pengurusan tadika adalah satu cabang industri kecil (cottage industry) yang  ketinggalan.

Kementerian Kewangan silap, ini adalah bidang bisnes berpotensi untuk diklassifikasikan sebagai New Economy.

Tadika bukan lagi satu backyard industry atau cottage industry sebagai pusat jagaan bayi dan kanak-kanak semata-mata. Ia adalah satu new economy yang amat penting kepada pembangunan insan, komuniti dan negara.

Tidak wajarlah peruntukan yang begitu kecil diagihkan kepada pembangunan satu new economy yang amat penting ini.

Begitu juga kemampuan wanita menerajui pembangunan dan pengurusan Pusat Bersepadu Warga Emas (PBWE).

Konsep lama atas nama Pusat Jagaan Orang Tua (Old Folks Home) sudah ketinggalan. Di negara-negara Nordics misalnya, pusat sebegini sudah menjadi satu pusat moden dan pusat sumber yang penting dan popular.

Jika di negara-negara Nordics, model PBWE ini lengkap dengan kemudahan perubatan, fisioterapi dan rekreasi moden. Malah di sesetengah tempat ia merupakan pusat sumber kerana ramai warga emas memilih berada di situ sedangkan mereka ini adalah golongan profesional yang masih aktif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Sewajarnya Kementerian Kewangan lebih bijaksana merancang sesuatu yang lebih inovatif dan kreatif.

Sehubungan itu MPM mencadangkan MOF merujuk dahulu kepada sasaran PBB dalam memperkasakan agenda wanita.

Sasaran 5.5 dalam Gender Equality Targets oleh PBB itu menyatakan: “Kerajaan pastikan penyertaan penuh, berkesan dan kesaksamaan peluang dalam kepimpinan di semua lapisan pembuat keputusan politik, ekonomi dan awam.”

Sasaran 5.a dalam dokumen yang sama pula menyatakan: “Kerajaan laksanakan reformasi bagi memberi wanita hak saksama kepada sumber ekonomi, pemilikan dan penguasaan ekonomi.”

 

DATUK FARIDAH A JABBAR ialah Ketua Sekretariat MPM dan Yang Dipertua Usahanita Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN