PASIR PUTEH 3 Nov – Lebih 2,000 nelayan di jajahan ini dan Bachok terkilan kelompok mereka tidak menerima sebarang pembelaan khusus dalam Belanjawan 2019 dan menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula perkara itu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, Zahari Samat berkata, rata-rata nelayan di negeri ini masih memerlukan pembelaan seperti Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.
Menurutnya, kebanyakan mereka yang mencari rezeki menggunakan sampan dan memukat di sekitar pantai selain nelayan tradisional yang mencari sumber ikan sungai masih di takuk kemiskinan.
“Musim tengkujuh adalah cabaran bagi kami kerana dalam tempoh tiga hingga empat bulan laut bergelora menyebabkan kami hilang punca pendapatan.
“Adalah amat mengecewakan apabila mendapat tahu Belanjawan 2019 tidak menyebut sebarang bentuk bantuan kepada golongan nelayan secara khusus, ” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Pengerusi PNK Bachok, Mohd. Saripudin Ishak pula berkata, lebih 600 daripada 1,000 nelayan di kawasan itu yang sebelum ini menerima ESHN terkilan apabila kebajikan mereka tidak dibincangkan dalam Belanjawan 2019.
Menurutnya, masa depan nelayan Pantai Timur yang rata-rata miskin tidak sepatutnya dipandang sepi oleh kerajaan Pusat.
“Jangan pandang kami sebagai masyarakat kelas ketiga. Kami mengharapkan kerajaan berbuat sesuatu untuk meningkatkan hasil pendapatan dan membebaskan nelayan dari belenggu kemiskinan.
“Tanpa elauan sara hidup nelayan yang menghadapi fenomena laut bergelora bermula bulan ini hingga Mac tahun depan menghadapi kesusahan kerana hilang terus punca pendapatan,” katanya.
Saripudin dalam pada itu menambah, nelayan juga turut terkesan kenaikan harga barangan termasuk harga enjin sangkut dan pukat yang membebankan.
“Kami juga khuatir dengan ura-ura kerajaan mahu memansuhkan subsidi diesel kepada nelayan yang sudah tentu menjadikan golongan nelayan semakin miskin,” katanya. – UTUSAN ONLINE










