PUTRAJAYA – Kerajaan akan mempertahankan Belanjawan 2019, yang juga belanjawan sulung dibentangkan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), daripada segala kritikan, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebagai Pengerusi PH, Mahathir berkata, secara asasnya peruntukan belanjawan yang dibentangkan itu adalah tinggi walaupun jangkaan awal pihak tertentu adalah sebaliknya.
“Banyak pihak berpendapat Belanjawan 2019 adalah yang kecil disebabkan kerajaan berdepan masalah kewangan.
“Sebaliknya kita dapat perbesarkan jumlah yang diperuntukan dan kita sepakat pertahankan belanjawan itu daripada sebarang kritikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.
Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam, memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion untuk perbelanjaan berbanding kira-kira RM290.4 bilion pada Bajet 2018. Daripada jumlah itu, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Mahathir berkata, kerajaan dan Majlis Presiden PH mendapati rata-rata pihak berkepentingan menerima baik pengumuman yang dibuat dalam belanjawan itu. – Bernama











