KUALA LUMPUR – Kemudahan perubatan kepada 30,000 pegawai lantikan kontrak di dalam perkhidmatan awam dilanjutkan kepada ibu bapa mereka bagi memastikan golongan itu menikmati kemudahan sama seperti penjawat awam tetap, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, untuk tujuan tersebut, kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun sebagai mengiktiraf peranan serta sumbangan mereka.
“Selain itu, kemudahan Cuti Kuarantin turut dipanjangkan kepada pegawai lantikan kontrak yang anaknya menghidap penyakit berjangkit bermula 12 November ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.
Semasa membentangkan belanjawan bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”, Guan Eng berkata, kerajaan juga meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod selama tujuh hari kepada pegawai beragama Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah sepanjang tempoh perkhidmatan.
Bagi 201,600 penjawat awam yang bukan beragama Islam pula, Guan Eng berkata, kemudahan cuti tanpa rekod dipanjangkan untuk tujuan keagamaan golongan tersebut. – Bernama










