Belanjawan 2019 guna kaedah ZBB - Utusan Malaysia

Belanjawan 2019 guna kaedah ZBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan hari ini dijangka memperkenalkan kaedah Bajet Asas-Sifar (ZBB) sebagai satu langkah penjimatan dan pemulihan ekonomi negara.

Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, hal demikian ini kerana Pakatan Harapan (PH) tidak akan melihat kembali apa peruntukan kerajaan terdahulu, sebaliknya memulakan perbelanjaan kewangan yang baharu mengikut keperluan sebenar tanpa pembaziran.

“Jika sebelum ini kerajaan terdahulu akan menambah belanjawan setiap sektor atau kementerian sebanyak tiga hingga lima peratus dengan berpandukan kadar inflasi, namun perbelanjaan kali ini akan berlaku perbezaan ketara.

“Kerajaan akan menggunakan kaedah ZBB yang dilihat lebih relevan dan dijangka mengurangkan perbelanjaan setiap kementerian sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas intipati Belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan kali pertama oleh kerajaan PH di Dewan Rakyat, esok.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pembentangan Belanjawan 2019 esok bakal menyaksikan bagaimana harapan semua pihak dapat dirangkumkan dalam satu perancangan.

Beliau berkata, belanjawan sulung PH itu merupakan cabaran yang amat besar dan agak sukar dipenuhi tanpa menjejaskan harapan rakyat yang pastinya mahukan sesuatu yang lebih membela nasib mereka.

“Kerajaan juga sudah tentunya mereformasikan ekonomi selain mengawal perbelanjaan tetapi pada masa sama menerokai peluang pendapatan yang baharu di samping memenuhi aspirasi bangsa Malaysia yang maju.

“Walau bagaimanapun, semua ini akan bergantung kepada banyak faktor termasuk faktor luaran yang boleh memberi impak besar seperti ketidakstabilan harga komoditi dan perang tarif. Malah rakyat sudah pasti mahukan jurang pendapatan dikurangkan dan mereka masih mampu untuk memiliki rumah dan menampung kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN