SEREMBAN – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentangkan sebuah belanjawan yang baik buat rakyat di Dewan Rakyat semalam meskipun Malaysia sedang berhadapan dengan isu hutang negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebagai contoh taska mendapat peruntukan RM10 juta, manakala sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).
“Kita cuba membuat yang terbaik, namun ada kekangan. Itu yang menjadi masalah. Bagaimanapun saya berpandangan Belanjawan 2019 menunjukkan kita boleh dan mampu meneruskan dengan segala kekangan yang ada.
“Pai ekonomi kita kecil sedikit, maka untuk mengagihkannya memang kurang memuaskan. Kita bangga sebab kerajaan yang kita telah tukar ini masih mencuba dengan segala kekurangan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 ‘Keluargaku Sayang’ di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini.
Turut berlangsung pelancaran aplikasi MykafeTEEN yang dibangunkan oleh Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan LPPKN buat golongan remaja negara ini.
Aplikasi tersebut membantu remaja Malaysia memperoleh informasi semasa berkaitan kesihatan reproduktif dan sosial dengan mudah dan pantas. – K! ONLINE










