KUALA LUMPUR 31 Okt. – Golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dijangka antara penerima manfaat daripada Belanjawan 2019 menerusi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi mapan dan mengurangkan beban kos sara hidup.

Penyelidik Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan berkata, beliau yakin bajet pertama oleh kerajaan baharu ini akan meliputi usaha bagi meningkatkan pendapatan dan kuasa beli dalam kalangan golongan B40.
Katanya, Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diunjur terus dikekalkan dalam belanjawan tetapi dengan pengurangan jumlah penerima berbanding tujuh juta sebelum ini.
Jelas beliau, peruntukan bagi BSH dianggarkan kurang daripada RM6.8 bilion dalam masa sama kekal menerima sokongan daripada perbelanjaan swasta.
“Dari segi subsidi minyak, kami merasakan kerajaan bakal memperkenalkan mekanisme terhadap subsidi petrol bersasar berbanding subsidi secara menyeluruh.
“Antara cadangan termasuk subsidi petrol bersasar disediakan untuk motosikal dengan enjin di bawah 125 cc dan kereta 1,300 cc,” katanya kepada pemberita di sini hari ini,
Dalam pada itu, ujar Tan lagi, nilai ringgit diunjur meningkat kepada 4.00 dan 4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun susulan dasar yang lebih jelas daripada Belanjawan 2019.
Tambahnya, dolar AS dijangka stabil berbanding mata wang utama yang lain tahun ini jika terdapat peningkatan kadar faedah pada Disember, seperti jangkaan pasaran.
“Kami berpendapat kerajaan akan mengubah sasaran defisit fiskal Malaysia kepada kadar antara 3.5 peratus dan 3.7 peratus tahun ini,,” katanya.











