Bekas KSU KKLW bersalah bersubahat terima rasuah kes BELB Sabah - Utusan Malaysia

Bekas KSU KKLW bersalah bersubahat terima rasuah kes BELB Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha (KSU) kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dipenjara tiga tahun dan denda RM3 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah SGD$200,000 (RM627,636) berhubung projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Sandakan, Sabah, pada 2016.

Hakim Azura Alwi yang membuat keputusan di akhir pembelaan itu turut memerintahkan Mohd. Arif, 61, menjalani hukuman penjara selama tiga tahun sekiranya dia gagal membayar denda.

Sementara itu, anak Mohd. Arif, Ahmad Zukhairi dihukum penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta atau 10 tahun penjara selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan dua pertuduhan menerima suapan wang tunai pada 2016.

Bagi pertuduhan pertama, hakim Azura memerintahkan Ahmad Zukhairi, 31, menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda RM3 juta atau tiga tahun penjara manakala pertuduhan kedua penjara tiga tahun dan denda RM6 juta atau empat tahun penjara.

Bagi pertuduhan ketiga penjara dua tahun dan denda RM350,000 atau 18 bulan penjara dan pertuduhan keempat dua tahun penjara dan denda RM250,000 atau 18 bulan penjara dan mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Dalam penghakimannya Azura berkata, pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh.

“Pembelaan tidak beri penjelasan yang jujur berkaitan intipati pertuduhan, keterangan pembelaan bersifat penafian kosong semata-mata,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN